Suasana paginya cukup menyegarkan meskipun hutan konkrit mendominasi latar langit bandaraya Kota Kinabalu, tanda kemajuan dikecapi bandaraya ini. Namun, keseimbangan alam sekitar yang ditumbuhi dengan pelbagai jenis kayu-kayan Hutan Hujan Tropika ini masih mampu mengamit rasa para pengunjung yang bertandang ke negeri ini. Seawal 5 pagi lagi, kesibukan ibu kota negeri Sabah ini jelas tertumpu di ruang niaga Pasar Besar Kota Kinabalu. Pengusaha tanaman sayuran tinggi sibuk memungah hasil tanaman sayuran segar mereka yang dibawa terus dari tanah tinggi Kundasang, kira-kira 2 jam perjalanan dari Pusat Bandaraya. Pelbagai jenis sayuran serta buah-buahan tempatan terdapat disini dengan harga yang berpatutan. Para pengunjung tidak perlu risau tentang sarapan pagi kerana segala-gala makanan tempatan ada disediakan diruang atas Pasar Besar. Semestinya Tau Foo Fa disini menjadi kesukaan ramai disamping rasanya yang enak dan berpatutan.
Perjalanan ke Pasar Besar tidak berhenti disini. Kira-kira 500 meter dari Pasar Besar Kota Kinabalu, kalungan rantai dan gelang Mutiara asli ada dijual disitu. Pasar Filipina yang berhadapan dengan Hotel Le Meridien, menawarkan pelbagai pilihan cenderamata dan kraftangan asli untuk dijadikan sebagai tanda kenangan dan ingatan buat sahabat. Siapa tahu tawar-menawar bersama peniaga, pengunjung boleh mendapatkan harga yang jauh lebih murah dan berpatutan. Mungkin ramai tidak tahu, Pasar Filipina pada dulunya menjadi Pusat Penyaluran Bantuan PBB bagi Pelarian rakyat Selatan Filipina yang menderita akibat Perang Saudara disana. Lantaran ramai rakyat Filipina berniaga disana, maka dinamakan sebagai Pasar Filipina.
Berdekatan dengan pasar filipina adalah pusat membeli-belah Centre Point dan Warisan Square. Jika ada berminat dengan barangan mewah dan berjenama sudah tentu Warisan Square menjadi pilihan. Manakala Centre Point menjadi sentri bagi muda-mudi untuk berhibur. Namun, kedua-dua pusat membeli belah menjanjikan tarikan yang menarik kepada pengunjung dengan potongan khas setiap masa. Jika masih tidak puas lagi, Warisan Square menyediakan perkhidmatan Bas Ulang Alik percuma ke pusat membeli-belah terbesar 1Borneo. Pilihan makanan yang beraneka dari timur ke barat sudah tentu tidak mengecewakan pengunjung.
Kunjungan ke Kota Kinabalu pasti tidak lengkap jika tidak menikmati suasana petang di Pantai Tanjung Aru. Luanglah sedikit masa untuk melihat sinar matahari dengan perlahan terbenam disebalik Laut Cina Selatan membiru.
No comments:
Post a Comment